Tak kisahlah cara apa pun cara bro mengumpan sang ikan. Paling penting, ada hasil bila balik nanti. Kena buat ‘research’ juga nak memancing cara yang macam mana. Entri UMPAN kali ini bercerita tentang teknik pancingan yang selalu digunakan kaki pancing.

 

*CASTING

Kaedah membuat lontaran umpan atau gewang ke sasaran dan menggarau kembali tanpa perlu umpan jatuh ke dasar atau diragut ikan. Umpan yang selalu digunakan adalah seperti ikan kecil, udang, dan serangga. Umpan tiruan seperti gewang dan sesudu pun selalu digunakan. Teknik ini lebih sesuai dibuat pada waktu siang, jika memancing pada waktu malam, eloklah gunakan umpan lut sinar.

 

*POPPING

Lebih kurang seperti ‘casting’ cuma umpan tiruan yang digunakan berbeza. Teknik ini menggunakan ‘popper’ pelbagai bentuk dan jenis. Ketika memancing, biasanya akan ada bunyi Poop! ketika proses menggarau selepas lontaran. Cara ini lebih cepat kerana ‘popper’ yang dikarau melanggar ombak atau permukaan air dan mengeluarkan bunyi. Teknik ini boleh dilakukan pada waktu siang atau malam kerana bunyi yang terhasil akan ‘memanggil’ sang ikan menghampiri umpan.

 

*JIGGING

Teknik menghenjut menggunakan umpan tiruan yang dipanggil sebagai ‘jig’. Umpan ini biasanya dihasilkan dari kepingan timah dan dibentuk sebagai ikan dan diwarnakan dengan warna terang dan lut sinar. Walaupun bagaimana pun bro, teknik ini memang meletihkan. Kaki pancing perlu beraksi setiap masa untuk memastikan umpan efektif. ‘Jig’ dimasukkan ke dasar dan joran perlu diujun berselang seli semasa proses karauan laju.  Tapi inilah cara yang mencabar kekentalan semangat seorang kaki pancing!

 

*BOTTOM FISHING

Teknik memancing menggunakan umpan dengan kaedah tradisional. Umpan dilabuhkan jauh ke dasar dan mensasarkan spesies ikan laut dalam. Cara ini boleh dilakukan di kolam, sungai, tasik atau laut. Ia sesuai dipraktikkan pada waktu siang dan malam.

 

*DRIFTING

Menggerakkan umpan terutama umpan hidup. Dilepaskan ke sasaran tanpa perlu menggunakan ladung. Pelampung atau belon sering digunakan. Teknik ini sesuai di perairan yang berarus sederhana dan berangin. Bila-bila pun boleh digunakan!

 

*TROLLING

Memerangkap sang ikan dengan ikan, sotong atau gewang. Tundaan tidak laju, hanya antara 5-10 batu nautika sejam. Ia bergantung pada jenis gewang yang digunakan. Biasanya kaki pancing guna teknik ini di siang hari.  

 

Jom follow media sosial kami di :

Facebook : www.facebook.com/Majalah-Umpan

Instagram : @majalahumpan

Twitter : @UmpanOnline             

Youtube : majalah umpan