Spesis ikan belitong merupakan spesies ikan yang sering berlegar di permukaan air hampir di kebanyakan perairan di seluruh dunia. Juga sering dikenali dengan nama mahi-mahi atau dorado, ikan ini boleh ditemui di luar kawasan pantai beriklim tropika, subtropika dan sederhana. Dalam pengelasan saintifik, belitong merupakan salah satu daripada dua spesies yang datang daripada keluarga Coryphaenidae dan dikenali sebagai Commom dolphinfish. Satu spesies lagi ialah pompano dolphinfish iaitu bawal emas.

 

Dari segi bahasa, terma mahi-mahi datang daripada bahasa Hawaii dan membawa maksud ‘sangat kuat’. Dalam bahasa Inggeris, ikan ini sering dikenali sebagai dolphinfish. Terma ini sering disalah anggap dan kadang-kadang mendatangkan kekeliruan dengan spesies ikan lumba-lumba. Perlu diingat ikan lumba-lumba merupakan mamalia yang bernafas melalui udara sedangkan kebanyakan ikan lain merupakan ikan yang bernafas melalui air menggunakan insang.

 

Selain itu, jika di sekitar Pasifik sehingga ke Afrika Selatan, kebanyakan komuniti di sana memanggil ikan ini dengan nama dorado. Terma dorado merupakan terma yang datang daripada bahasa Sepanyol yang membawa maksud keemasan. Bagi kebanyakan pemancing Malaysia pula, terma yang popular ialah ikan belitong. Pun begitu, nama mahi-mahi dan dorado juga antara terma yang mudah difahami untuk merujuk kepada spesies ini.

 

Genus ikan belitong pula ialah Coryphaena. Linnaeus menamakan genus ikan ini berdasarkan perkataan Greek iaitu koryphe, yang memberi maksud teratas atau puncak (top, apex). Belitong boleh dijumpai di kebanyakan perairan seluruh dunia beriklim tropika dan subtropika. Taburan spesies ini merangkumi sekitar Amerika Utara, Jurang California, Costa Rica dan Lautan Atlantik sekitar New Jersey sehingga ke Florida. Ikan ini juga sering berlegar di Lautan Hindi. Selain itu, perairan Asia turut menjadi antara lokasi kemunculan ikan ini. Antaranya termasuklah rantau Asia Tenggara di kawasan Laut China Selatan. Ikan belitong merupakan spesies yang bermigrasi dan tidak hairanlah spesies ini boleh ditemui dihampir kebanyakan perairan seluruh dunia.

 

Sering ditemui di lautan lepas di luar pesisir pantai. Ikan ini merupakan antara spesies yang bermigrasi merentasi lautan dan sering kali bergerak dalam kawanan atau berkumpulan. Ikan ini boleh ditemui dalam kawasan laut sedalam 85 meter, namun lebih gemar berenang dalam kedalaman 37 meter. Ikan belitong gemar memburu ikan kecil sebagai diet makanannya. Selain ikan kecil, sotong, zooplankton dan krustasia juga menjadi pilihan kepada spesies perenang pantas ini. Dalam kebanyakan situasi, belitong dilihat gemar memburu dan berenang mengejar ikan terbang (flying fish).

 

Dalam kelangsungan hidup pula, belitong membiak sepanjang tahun terutama di kawasan laut yang agak panas. Kebanyakan juvenil ikan belitong boleh ditemui di sebalik rumpai laut di mana kawasan sebegini mudah bagi ikan ini mencari makanan. Secara relatifnya, ikan ini mempunyai jangka masa hidup yang agak pendek dalam anggaran 4-5 tahun sahaja. Pun begitu, belitong merupakan antara spesies yang paling cepat membiak. Populasi ikan ini mampu mencapai dua kali ganda dalam masa 15 bulan. Tangkapan belitong pula sering merekodkan berat sekitar 4 – 13 kilogram.