IKAN gemang seberat 1.11 kilogram yang dipancing oleh Awie Nur Farish pada jam 8.50 pagi menjulang pemancing dari Pekan, Pahang itu sebagai juara Stingray Attack di Pantai Puteri, baru-baru ini. Awie hadir ke Pantai Puteri selepas turut mendapat habuan dalam pertandingan memancing di Pantai Kelulut, Terengganu, sehari sebelumnya. Kehadiran bersama lima rakan dari Pahang nyata berbaloi apabila beliau dinobatkan juara sekali gus membawa pulang RM15,000.00.

Tempat kedua disandang oleh Iskandar Nelson, yang berasal dari Sabah tetapi menetap di Melaka. Beliau menjinakkan ikan pari seberat 0.845 kilogram manakala Hakimi Abdullah di tempat ketiga dengan ikan kurau seberat 0.84 kilogram.

 

Iskandar membawa pulang wang tunai RM4,000.00 manakala Hakimi menerima RM2,000.00. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Wakjali Event Management, Md Zali Kasran. Md Zali berkata, meskipun hadiah pertandingan berkenaan terpaksa diturunkan berikutan penggunaan kawasan pantai yang terhad, namun kehadiran peserta tetap membanggakan.

"Pada awalnya, saya menjangkakan peserta tidak berminat menyertai acara ini berikutan hadiah dikurangkan. Namun, saya terkejut apabila penyertaan adalah melebihi sasaran, mungkin kerana yuran penyertaan yang turut diturunkan,'' katanya.

Menurut beliau, acara memancing anjuran Wakjali Event akan berhenti rehat selama dua bulan pada Ramadan dan Syawal. Acara sulung selepas Aidilfitri ialah Gigasurf Pantai Remis yang dijadualkan pada 30 Julai. Hadiah keseluruhan ditawarkan bernilai hampir RM120,000.00. Juara akan membawa pulang RM70,000.00, kedua RM13,000.00 dan ketiga RM5,000.00.