Untuk mengendalikan apatah lagi menjayakan satu acara berprofil tinggi melibatkan individu, syarikat. Pertubuhan atau apa saja badan terlibat dengan industri memancing dengan penuh kesempurnaan, bukanlah satu tugasan yang mudah. Apatah lagi apabila acara tersebut tidak menjana keuntungan pihak yang menganjurkan acara tersebut. Malah, ia kedengaran seperti sesuatu yang mustahil akan dilakukan oleh sesiapa pun. Namun itulah yang diusahakan oleh sekumpulan pemancing yang bernaung di bawah nama Sekretariat MCT, demi memeriahkan industri memancing tanah air.

 

Setelah berjaya dengan penganjuran tahun lalu, MCT Lake Tour Peacock Bass (PB) Challenge 2017 kembali mengulangi kejayaannya. Bagi acara kali kedua ini sekali lagi pihak skretariat atau pihak penganjur mendapat sokongan dari Mini Amazon Kg. Beng, Homestay Kg. Beng, Majlis Pelancongan Lenggong dan Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia. Hasil usaha sekretariat turut berjaya para penaja seperti Mercury Marine Malaysia, Gigamate Aluminium Boats, Outboard Engines & Outdoor Sports, Trojan Boats, Pure Fishing bagi menyediakan hadiah-hadiah acara. Meskipun menerima sambutan luar biasa dari para pemancing yang ingin mengambil bahagian termasuk pemancing dari negara Brunei, pihak sekretariat terpaksa menetapkan penerimaan setakat 150 orang peserta sahaja berikutan kekurangan tempat penginapan.

 

Selama dua hari seramai 150 orang peserta (41 buah bot memancing) menakluki perairan Tasik Chenderoh bagi memburu spesies sasaran utama kejohanan iaitu ikan peacock bass atau ikan raja bagi merebut beberapa kategori kejuaraan yang ditawarkan. Acara berkonsepkan teknik pancingan mengilat menggunakan umpan tiruan atau gewang ini berjaya mendaratkan enam spesies ikan untuk dipertandingkan. Spesies sasaran iaitu peacock bass berjaya didaratkan sebanyak 42 ekor, lapan ekor toman, tiga ekor sebarau, tiga ekor haruan, satu ekor kerandang dan satu ekor lampam. Lebih manis buat peserta dari Brunei, Md Sya'akirin Skandar yang buat pertama kali menyertai acara ni muncul sebagai juara (kategori King Of PB) apabila berjaya mendaratkan seekor peacock bass sepanjang 52 cm hasil penggunaan sesudu Tokwan.

 

Keputusan pertandingan

 

KING OF PB (individu) - Md Sya'akirin Skandar (tim Lanun Prima-Brunei) - 52 cm

KING OF TOMAN (individu) - Mohd Zahir Damanhori (tim Cast Empire) - 72 cm

KING OF SEBARAU (individu) - Gerald Leong (tim G Mad) - 46 cm

KING OF SPECIAL (individu) - Ahmad Hanafi Osman (tim Koboi bc caster) - kerandang 37 cm

KING OF MCT LAKE TOUR (kumpulan) - tim Trojan Gigamate - 241 mata