Buat pertama kalinya Mercury Cup Korea Open Tournament, sebuah kejohanan memancing teknik mengilat atau casting peringkat antarabangsa, anjuran Korea Sportfishing Association (KSA) dan Mercury Marine yang akan berlangsung pada 27-28 Mei ini di Andong Lake, Korea Selatan akan disertai oleh empat orang pengilat (pemancing) dari negara kita Malaysia.

 

Bertitik tolak dari penganjuran Asian Monsoon Casting Tournament (AMCT), Mercury Marine Malaysia dengan kerjasama Sekretariat MCT dan Tourism Malaysia melancarkan program Anglers Exchange bagi mencari pemancing berwibawa untuk menyertai Mercury Cup Korea Open Tournament ini. Pencarian selama tiga bulan ini akhirnya berpihak kepada Mohd Hafiz Mat Hussin, Kay Fairuz Kamaruddin, Azri Ngah dan Samsu Bahri Samsudin sebagai wakil pemancing Malaysia.

 

"Penyertaan ke Andong, Korea Selatan memberi peluang kepada peserta dari Malaysia menimba pengalaman dan mempelajari teknik memancing di tasik Korea Selatan yang berbeza dengan tasik-tasik di Malaysia. Dalam masa yang sama ia dapat mempromosikan AMCT di Tasik Kenyir pada 30 November hingga 3 Disember nanti serta aktiviti sukan memancing di Malaysia kepada pemancing di Korea Selatan terutama di Tasik Kenyir sempena Visit Beautiful Terengganu 2017," ujar Ahmad Zulfa Shafie, wakil Tourism Malaysia akan turut serta dalam program ini selaku pemerhati.

Sementara bagi Mohd Hafiz Mat Hussin, seorang pemancing berpengalaman luas yang turut merupakan penganjur acara Snakehead Battle di Tasik Kenyir, beliau berikrar akan membawa identiti atau jati diri pemancing Malaysia.

 

"Saya akan berusaha sekurang-kurangnya menaiki podium. Di samping itu saya akan memperkenalkan Malaysia sebagai negara yang berpotensi untuk menganjurkan pertandingan memancing berprofil tinggi."