TUMPUAN KAKI PANCING KETIKA INI, BUKAN LAGI JUMUD KEPADA IKAN YANG DIPANCING AKAN DITANGKAP DAN DIMAKAN SEMATA-MATA. SEBALIKNYA ADA SPESIES YANG DIBURU KERANA IA MEMBERI PERTARUNGAN YANG MENGASYIKKAN. DAN KITA PERLU BERBANGGA DAN BERSYUKUR KERANA MALAYSIA DIKURNIAKAN PELBAGAI SPESIES IKAN. BERIKUT DISENARAIKAN IKAN SUKAN (SPORT FISHING) AIR MASIN YANG DISENARAIKAN POPULAR YANG TERDAPAT DI PERAIRAN KITA.

LAYARAN

Nama saintifik: Istiophorus platypterus, I. albicans

Nama umum: Sailfish

Nama tempatan: Layaran

Ikan layaran merupakan spesies ikan yang gah di kalangan pemancing sukan di Malaysia. Kuasa henjutannya yang sangat hebat ketika pertarungan membuatkan spesies ini begitu disegani. Ia memiliki daya larian yang luar biasa serta aksi selaman dan lompatannya di permukaan air sering menaikkan adrenalin kaki pancing. Biasanya kehadiran layaran tertumpu di kawasan pelagic-oceanic. Spesies ikan oceanodromous atau bermigrasi antara lautan ini tergolong dalam kategori billfish atau ikan berparuh dan jika di Malaysia, lokasi persinggahan terkenal spesies ini tentulah di perairan Rompin. Sifat migrasi layaran ini menjadikan wujudnya acara tahunan ternama seperti Royal Pahang Billfish di perairan Rompin. Acara seperti ini sering kali menjadi salah satu tarikan utama bagi pelancongan berteraskan sukan memancing dari dalam mahupun luar negara.

TIP MEMANCING LAYARAN

Penggunaan teknik menghanyut (drift) menggunakan umpan hidup menggunakan belon. Penggunaan gewang tiruan juga boleh dicuba untuk teknik mengilat, teknik menunda atau pun teknik popping. Malah ada yang telah berjaya mencuba menaikkan ikan ini dengan kaedah fly fishing.