Terletak di dalam kawasan Gerik, Lubuk Air Gadong boleh dikatakan antara lubuk pancing sungai pergunungan yang sangat berpotensi. Lokasi ini terkenal dengan spesies seperti tengas, baung, sebarau dan juga spesies bujuk. Kunjungan penulis ke sini dua tahun lalu membuktikan spesies-spesies tersebut masih banyak menghuni kawasan ini.

Oleh kerana agak lama tidak turut serta dalam trip air tawar, pengharapan itu agak tinggi untuk mengubat kerinduan larian serigala air tawar atau henjutan deras sang tengas. Apatah lagi terbayang-bayang menghabiskan masa pada waktu malam dengan melayan sang baung ditemani kopi panas dan biskut kering.

Peluang datang lagi ke sini saya ibaratkan sebagai siaran ulangan dan spesies sebarau, baung dan bujuk menjadi spesies sasaran utama saya dalam kunjungan ke Air Gadong kali ini. Kalau dapat kelah, ia satu bonus seperti mana dalam kunjungan terdahulu, namun saya tidak terlalu meletakkan harapan.

Sewaktu tiba di kem utama, air sungai yang agak keruh sedikit sebanyak menggusarkan kami namun tidak mematahkan semangat kami. Setelah berehat, awal pagi hari kedua, masing-masing sudah bersiap untuk menduga penghuni di sini bersama set pancing di tangan dan bergerak dalam 3 kumpulan kecil menghala ke arah Lubuk Besar.

Tidak lama bergerak, mangsa pertama iaitu seekor bujuk juvenil tewas di tangan Nasrul hasil godaan spinner kos rendah. Walaupun saiz juvenil, ini merupakan petanda yang baik bagi kami. Lantas semakin rajin balingan sesudu berhampiran struktur kayu. Selang beberapa ketika seekor sebarau menghentam sesudu Abu Island II 7 gram.

Mungkin tak tertahan dek lenggok sesudu yang digayakan oleh AJ. Selepas itu, suasana terus sepi. Sehingga tiba di Lubuk Besar, balingan demi balingan hanya membuahkan penat. Cuma seekor tengas berjaya dijinakkan berhampiran Lubuk Besar sewaktu hampir tengah hari, juga hasil gelekan sesudu Abu Island II. Puas kami geledah, malah teknik dasar berumpankan cengkerik juga hanya sesekali dicuit tengas. Berbeza betul berbanding dengan kunjungan terdahulu.

Berita daripada rakan lain juga agak hampa dengan jumlah tangkapan ikan yang tewas. Cuma Ah Hong berjaya menaikkan seekor sebarau, 2 ekor tengas dan seekor bujuk hasil mengilat. Bujuk itulah juga pengubat duka bagi spesies sasaran pada trip kali ini.

Trip kali ini jelas memberikan bayangan tentang keadaan Lubuk Besar di Air Gadong yang makin uzur. Perbezaan yang sangat ketara dalam jumlah tangkapan dan sambaran sedikit sebanyak menunjukkan populasi ikan di sini semakin berkurang. Jika dibuat perbandingan dengan trip terdahulu, perbezaan ketara jelas dilihat dalam jangka masa hanya sekitar 2 tahun. Baik dari segi kuantiti dan juga saiz ikan, masing-masing mencatatkan arah yang negatif. Benar, pandangan ini bukan angka sebenar tahap sumber perikanan kita, namun sekurang-kurangnya saya menulis berdasarkan pemerhatian saya, yakni apa yang berlaku di depan mata saya.

Dan benar juga, ikan masih menghuni di sini, namun mungkin tidak bertahan lama. Hasil perbualan penulis dan rakan-rakan ketika memancing dasar pada malam hari, kami merumuskan punca utama keadaan ini ialah hasil aktiviti manusia. Beberapa orang rakan tidak menolak aktiviti seperti mengebom ikan dan menjaring ikan tanpa kawalan menyumbang kepada penurunan populasi ikan di sini.

 

Dalam lapangan pancing di Malaysia, harus diakui sumber perikanan kita terutama air tawar semakin hari semakin tenat. Biasanya, lubuk-lubuk yang ada sering kali akan mati dalam hayat yang pendek jika lokasinya menjadi umum. Kemudiannya, timbul pula isu simpan lubuk yang akhirnya menimbulkan cakap-cakap belakang.

Mari kita cuba lihat sejenak dan fikirkan, aktiviti memancing secara logik tidak akan mengundang bala kepada sumber perikanan. Yang ketara dan penyumbang utama ialah aktiviti penangkapan ikan yang tidak beretika seperti yang menjaring, mengebom, penggunaan racun atau tuba. Maka golongan ini wajib dibendung dengan apa cara sekalipun.

Jujurnya, sukar untuk mengharapkan pihak berwajib sahaja. Jadi di sinilah peranan kita sebagai pemancing beretika, berilmu dan sayangkan sumber perikanan kita. Lantas menjadi tugas kita, menghalang aktiviti tak beretika ini sekurang-kurangnya dalam kalangan rakan-rakan kita sendiri. Jika tidak mampu menghalang secara fizikal, sekurang-kurangnya kita menasihati mereka dan menyedarkan mereka tentang kepentingan sumber ini dan apa akibat buruk daripada perbuatan mereka.

Selain itu, dalam melihat kesilapan orang lain, kita sendiri kadangkala lupa untuk melihat diri sendiri. Kadangkala kita masuk ke hutan, trekking, camping dan memancing. Apabila mahu pulang banyak sampah seperti plastik atau tin yang di tinggalkan di campsite oleh grup kita. Secara tidak langsung, kita turut menyumbang kepada berlakunya kerosakan sumber ini. Inilah perkara yang perlu kita elakkan, nampak remeh namun kesannya cukup dalam.

Sebagai pemancing, pastilah isu ini terasa dekat dengan kita. Pemancing dan sumber ikan seperti sungai ibarat simbiosis dan saling memerlukan. Jadi, tanpa menuding jari kepada sesiapa, sama-samalah kita mengambil langkah sewajarnya dalam meneruskan kelestarian alam sekitar seterusnya dapat memberikan kepuasan dalam hobi kesayangan kita ini.