Trip memancing bersama tekong jigging tersohor Rozali Abdul Rahim atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ali, sememangnya menjadi rebutan ramai penggemar teknik pancingan jigging perlahan. Berikutan jadual tempahan penuh setiap bulan mengakbatkan majikannya sendiri turut sama beratur menunggu giliran trip. Semuanya bertitik tolak dari sikap tolenrasi, kesungguhan dan tidak mengamalkan sifat memilih bulu terhadap pelanggan yang menggunakan perkhidmatannya. Semua pelanggan dilayan sama dan sentiasa di bawa ke lubuk yang berpotensi dan para pelanggan pula harus bersedia dengan kejutan dalam bersama beliau. Kejutan yang kami terima pada trip penghujung tahun baru-baru ini, kami disajikan dengan amokan spesies ebek kapak di luar musim.

Tidak sebagaimana perairan di pantai timur khususnya Pulau Tenggol dan Pekan, perairan Port Dickson di Selat Melaka ini kurang menjadi destinasi pemburuan spesies ebek kapak. Baik ketika berada dalam musim pemburuannya dari bulan Februari sehingga Jun, apatah lagi jika bukan pada musimnya. Ebek kapak boleh dikatakan hampir tiada dalam senarai spesies buruan apabila bertandang ke perairan Port Dickson. Dan sebagaimana ragam tekong yang penuh kejutan, perairan Port Dickson turut sama mempersembahan kejutan tersendiri apabila menghadirkan gerombolan ebek kapak di luar musim.

Mungkin berkongsi teknik persembahan gaya permainan yang hampir dengan teknik light jigging dalam pemburuan ebek kapak, iaitu menyeret perlahan dan mengunjun jig di permukaan dasar, jig-jig seberat hingga 200 gm yang kami gunakan dalam sesi jigging perlahan menjadi tarikan kepada ebek-ebek kapak ini. Secara kebetulan saya menjadi ahli trip pertama berpeluang merasai keseronokan melayan kekentalan daya juang spesies yang turut dikaitkan dengan bentuk berlian ini. Dengan daya pecutan dan kekal memberikan tekanan melebihi paras setengah kedalaman air, saya mula yakin ia bukanlah spesies buruan utama iaitu jenahak atau kerapu namun masih sangsi sebenar sama ada gerepoh, gerong belang, sagai, haruan tasik atau spesies tak bersisik lainnya. Yang pasti tidak terlintas sama sekali ia adalah ebek kapak sehinggalah melihat kelibatnya di permukaan air.

Berikutan bentuk mulutnya yang kecil dan mata kail tertancap pada badan membuatkan tekanan yang diberikan lebih teruja. Sangkaan kami ia hanyalah ikan sesat atau samseng yang bergerak secara secara solo turut meleset apabila seorang demi seorang ahli trip termasuklah Pak Ali sendiri berjaya mendaratkan spesies itu walaupun berlainan lokasi lubuk. Sekaligus menjadi tangkapan bonus kepada kami kerana bukan semua pemancing dihadiahkan dengan kejutan amokan ebek kapak sedemikian rupa.