Tasik Temenggor khususnya di Temenggor Utara yang merupakan Taman Negeri Royal Belum sememangnya menjadi destinasi eko pelancongan. Berbeza suasananya di Temenggor Selatan. Berikutan ia terletak di luar kawasan taman negeri maka pengunjung yang datang ke Temenggor Selatan majoritinya adalah para pemancing. Oleh kerana ia berada di luar pengawasan taman negeri, maka situasinya tidak jauh beza dengan Tasik Kenyir (kecuali kawasan taman negeri) yang mana terdedah kepada konsep tangkapan ikan tanpa kawalan. Hanya akses untuk menggunakan bot pancing sendiri di Temenggor Selatan ini amat sulit berbanding kebebasan di Tasik Kenyir. Namun pun ia tetap menerima kunjungan kaki pancing khususnya pengemar teknik mengilat biar pun menyedari bakal berkesudahan sifar hasil tangkapan.

Saya sendiri saban tahun tidak pernah serik untuk mengunjungi Temenggor Selatan sama ada menggunakan pakej memancing yang sedia ataupun menggunakan bot memancing bersama kawan. Meskipun belum pernah berpesta menaikkan spesies buruan utama seperti sebarau dan toman, namun belum pernah gagal secara total mendaratkan kedua-dua spesies ini. Hanya pada trip terakhir barulah saya rasa erti kumpau yang sangat tidak diingini oleh mana-mana pemancing.

Setelah lebih setengah hari ‘panjang tangan’ melontar pelbagai jenis gewang dan meredah pelbagai suak dan spot berpotensi, kami bertiga dalam satu bot secara kebetulan bertemu dengan rakan pemancing lain (dua bot lima pemancing) yang turut senasib dengan kami. Namun nasib mereka lebih parah kerana sudah masuk hari kedua tanpa sebarang hasil tangkapan. Setelah berehat dan berbual panjang akhirnya kami berlapan sepakat sekata untuk menamatkan badi kumpau dengan mengunjungi kolam haruan tersembunyi milik mereka.

Kolam haruan yang dimaksudkan adalah kawasan limpahan air tasik yang terpisah dengan air tasik dan membentuk seperti sebuah lopak besar atau kolam apabila paras air tasik menurun atau rendah. Maka spesies terutamanya haruan dan ikan-ikan kecil yang terperangkap akan kekal di situ sehinggalah paras air tasik kembali tinggi dan kembali bercantum dengan tasik. Berikutan lokasi kolam yang tersembunyi dari pandangan mata dan kurang diketahui umum maka potensi untuk menamatkan badi kumpau adalah tinggi. Tambahan pula mereka mengamalkan konsep tangkap yang perlu sahaja dan lepas.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.682881.1496287775!/image/image.png

Ternyata spesies haruan dan toman masih berpenghuni di kolam tersebut. Hanya dengan balingan pertama sahaja kami sudah berjaya mendaratkannya. Kesemua tangkapan yang kelihatan kurus berikutan sumber makanan yang kurang di kolam tersebut itu kami lepaskan kembali. Ia akan menjadi destinasi kami lagi sekiranya kembali ke Tasik Temenggor dan akan menjadi penawar untuk mengubati luka pedihnya kumpau.