Apabila dipelawa oleh rakan untuk turut sama dalam trip slow pitch jigging di perairan Tanjung Karang, tanpa berfikir panjang lagi tambahkan satu set pancing light jigging dan beberapa ketul jig mikro. Perairan Kuala Selangor sehingga ke Sabak Bernam sememangnya sudah terkenal dengan pancingan apung. Tambah pula tekong yang bakal kami gunakan nanti adalah Kapten Jemek. Seorang tekong yang popular dan cekap mencari apung (longgokan sampah hanyut) bagi memancing ikan pecah periuk.

 

Justeru apabila tekong berhenti ketika menemui apung yang agak besar ketika dalam perjalanan ke spot untuk sesi jigging perlahan yang merupakan misi utama trip, saya tidak menunggu untuk mengeluarkan set pancing dan peralatan sesuai memancing spesies pecah periuk di bawah longgokan sampah. Peralatan atau umpan yang saya gunakan cukup ringkas. Satu jig mikro 20gm dan satu mata kail yang dilekatkan kepala sotong getah. Hanya dengan satu balingan berhampiran apung, saya sudah berjaya mendaratkan seekor pecah periuk. Apabila saya mendaratkan pecah periuk yang ketiga barulah ada rakan lain yang turut membawa set pancing light jigging ikut serta bermain pecah periuk. Genap pecah periuk yang kelima saya daratkan barulah kami meneruskan misi utama trip.

 

 

Setelah bermain jigging perlahan sehingga tengah hari tanpa sebarang hasil dan menanti arus kembali bergerak, tekong kembali mencari apung. Kali ini hampir kesemua ahli trip mengambil bahagian. Demi merasai tarikan ikan berikutan setengah hari berlalu tanpa sebarang hasil melalui jigging perlahan, kebanyakan ahli trip melupakan status jigger sejati. Dengan melekatkan umpan (isi ikan pecah periuk) pada mata jig, seekor demi seekor pecah periuk pelbagai saiz berjaya kami naikkan.

 

Keseronokan melayan tarikan pecah periuk menyebabkan tidak terasa masa yang berlalu. Justeru menyedari perubahan arus, kami segera kembali memburu jenahak melalui teknik jigging perlahan. Namun sesi kedua jigging perlahan sama seperti sesi pertama. Menyedari trip jigging perlahan akan berakhir dengan sifar tangkapan, tekong melanjutkan tempoh memancing dengan mencari apung dalam perjalanan pulang ke jeti. Beberapa apung yang ditemui semuanya berpenghuni. Hasilnya lebih 50 ekor pecah periuk yang kami perolehi sehingga mencapai status pecah tong. Biar pun trip jigging perlahan berakhir dengan kegagalan namun dengan adanya pecah periuk ia sedikit sebanyak menjadi pengubat kumpau.