Tong air batu atau tempat menyimpan ikan ibarat senjata wajib dibawa ketika memancing. Jika tidak ikan akan menjadi busuk, dan segala usaha anda menangkapnya ibarat tiada makna. Jadi, jangan biarkan itu terjadi. Kami ada beberapa tips lain untuk anda mengekalkan kesegaran ikan yang telah ditangkap. Jangan risau, anda tidak akan berputih mata. Ingin tahu? Jom lihat.

Gunakan uncang jaring

Uncang jaring ini biasa digunakan bagi pemancing yang memancing berdekatan dengan kawasan rumah. Ikan yang telah ditangkap akan dimasukkan ke dalam uncang dan direndam semula ke dalam air bagi membiarkan ikan itu terus hidup. Akan tetapi, janganlah pula anda memasukkan ikan bersaiz besar ke dalam jaring ini. Ikan yang bersaiz besar mempunyai daya rontaan yang tinggi dan jaring dikhuatiri akan koyak. 

Garam

Garam ini sesuai digunakan bagi pemancing di kawasan hutan melebihi tiga ke empat hari. Ikan yang dipancing perlu disiang dan dibersihkan daripada perut dan insangnya sekali. Sebaiknya jangan dikenakan air. Seterusnya garam ditaburkan sedikit sebelum disimpan di dalam bekas simpanan. Cara ini umpama seperti mengawet ikan tersebut.

Asingkan ikan mudah pecah perut

Terdapat beberapa spesis ikan yang mudah pecah perut apabila ia mati. Antaranya ialah, ikan selayang dan kembung.  Jika ini berlaku, pasti akan merosakkan tahap kesegaran ikan yang lain  dengan bau yang kurang menyenangkan. Apa yang boleh anda lakukan ialah dengan mengasingkan jenis-jenis ikan ini dan sebaiknya ikan isi terus disiang perutnya dan disimpan di dalam bekas berisi ais.

Yang sebenarnya terdapat banyak lagi petua atau cara tradisional juga modern untuk mengekalkan kesegaran ikan. Jika anda tahu beberapa petua lain yang rare dan sesuai untuk dipraktikkan, rajin-rajinlah share comment anda di bawah ini. Pasti kaki pancing yang lain juga tidak sabar mencubanya.