Batu ladung atau pemberat merupakan antara aksesori yang diperlukan untuk memancing khususnya untuk pancingan dasar. Batu ladung berperanan dalam mengekalkan posisi perambut dan umpan di dalam air. Batu ladung lazimnya diperbuat daripada timah kerana ciri utama timah ialah ketumpatan tinggi dan menjadikannya berat, suhu lebur rendah menjadikan kos pembuatan murah, tahan karat dan tahan hakisan air laut. Terdapat pelbagai jenis batu ladung yang ada di pasaran masa kini.

 

1. Batu Ladung Bulat

Batu ladung berbentuk bulat sangat sesuai digunakan untuk memancing di kawasan yang pantai atau laut yang landai, berpasir ataupun berlumpur. Namun ianya tidak sesuai digunakan di kawasan berbatu karang kerana bentuknya yang bulat sememangnya memudahkan batu jenis ini untuk tersangkut. Cara penggunaan batu ladung ini bergantung pada keadaan air di kawasan anda memancing. Jika kawasan tersebut berarus deras, gunakanlah saiz yang lebih berat agar tali anda tidak hanyut terlalu jauh dari kawasan permainan ikan.

 

 

2. Batu ladung Panjang

Batu Ladung berbentuk panjang juga antara jenis pemberat yang biasa digunakan oleh pemancing tidak kiralah di pantai, kolam mahupun tasik. Batu jenis ini sangat efektif digunakan untuk pancingan tepi pantai atau pun kuala. Batu ladung jenis ini juga boleh diguna pakai untuk pancingan di kawasan berbatu karang. Bentuknya yang menajam di kedua-dua hujung berpotensi untuk mengelakkan perambut anda dari tersangkut di celah-celah batu karang. Sama seperti batu ladung bulat, saiz batu ladung panjang juga digunakan mengikut kawasan memancing anda.

 

 

3. Batu Hidup (Biji Kana)

Batu hidup merupakan sejenis pemberat yang membenarkan tangsi bergerak bebas melaluinya tanpa diikat. Kebiasannya batu jenis ini sesuai digunakan di kawasan muara dan ianya juga sering digunakan untuk memancing di tasik, sungai atau kolam-kolam komersial. Penggunaan batu jenis ini amat sesuai digunakan untuk memancing ikan siakap di muara-muara sungai kerana bagi sesetengah ikan (seperti siakap) ia akan memuntahkan kembali umpan apabila terasa ‘berat’ dan umpan tersangkut-sangkut pergerakannya. Jenis batu hidup yang popular ketika ini ialah ladung biji kana dan ladung bulat.

 

4. Batu Sauh

Batu sauh amat popular digunakan oleh kaki pancing dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Batu jenis ini amat bersesuaian digunakan di kawasan yang berarus deras tertumanya sewaktu air jalan pasang ataupun jalan surut. Kegunaan dawai di sekeliling batu sauh ini adalah untuk memastikan batu ini dapat mencengkam dasar laut sekaligus mengelakkan dari perambut kita dihanyutkan arus deras.