Amalan tangkap dan lepas (catch and release) dalam aktiviti sukan memancing amatlah digalakkan bagi mengekalkan kelestarian ikan khususnya bagi spesies yang kian terancam populasinya. Namun amalan tangkap dan lepas ini bukanlah sekadar melepaskan kembali ikan ke air, sebaliknya ia merangkumi pelbagai aspek dari peralatan memancing sehinggalah cara-cara melepaskannya kembali.

 

 

1. Elakkan bertarung dengan ikan dalam tempoh panjang. Ini bagi mengelakkan paras asid lactic dalam ikan meningkat tinggi sekali gus boleh menyebab ikan mati.

2. Sebaik-baiknya gunalah tangguk bukannya cangkuk atau gaff untuk mendaratkan ikan. Jaring tangguk pula haruslah dari material yang halus dan lembut agar tidak mencederakan sisik atau kulit ikan.

3. Basahkan tangan sebelum memegang ikan bagi mengelakkan lendir pada badan ikan terkikis. Lendir ini berfungsi agen pertahanan ikan melawan penyakit.

4. Sebaiknya juga jika boleh tanggalkan mata kail yang tertancap pada ikan ketika ikan masih berada di dalam air.

5. Setelah menanggalkan mata kail (di dalam air), pegang ikan pada bahagian ekornya dan olakkan ikan sehingga ia mula meronta barulah lepaskan ia kembali ke habitat asalnya.

6. Jika ingin merakam kenangan bersama ikan, buatlah secepat mungkin. Setiap saat ikan berada di luar air maka semakin kuranglah peluangnya untuk hidup. Ikan pula perlu ditatang dengan baik bagi mengelakkan kerosakan organ dalamannya.