Ketika Fisher Tackles mula beroperasi pada Ogos 2012 yang lalu, pemiliknya Loh Mun Seng, 42 tahun,  atau lebih mesra dengan panggilan Ah Seng berhasrat untuk menjadikan premisnya itu sebagai kedai pancing tumpuan utama di Lembah Kelang dan Shah Alam khasnya. Selepas hampir empat tahun beroperasi, Fisher Tackles kini sudah pun menepati sasarannya. Hari ini, jika anda ke Fisher Tackles yang terletak di Dataran Automobil, Seksyen 15 Shah Alam, sama ada bermula waktu operasi sehingga tamat operasi, adalah sesuatu yang janggal jika menyaksikan premis ini sunyi tanpa pelanggan. Begitu juga dengan ruang kedai yang hampir empat lalu luas, kini sarat dengan rak peralatan memancing sehingga hampir tiada ruang untuk lalu lalang.

 

Formula kejayaan yang digunapakai oleh Ah Seng cukup mudah. Pertama sekali, mesti mesra pelanggan. Berurusan secara langsung dengan pelanggan sangat membantu berbanding berurusan dengan pekerja. Justeru Ah Seng tidak menggaji sebarang pekerja melainkan menguruskannya bersama isteri sahaja. Kedua, sentiasa memastikan barangan yang dikehendaki oleh pelanggan tersedia atau dapat disediakan. Dan ketiga yang menjadi kunci utama kejayaan adalah mampu menawarkan harga barangan serendah yang mampu berbanding kedai pancing yang lain. Boleh dikatakan semua barangan pancing yang dijual dengan 'harga kawan-kawan'.

 

 

"Untung sikit-sikit tak apalah... janji orang mau beli. Untung banyak tapi orang tak mau beli pun tak guna," ujar pemilik Fisher Tackles yang turut merupakan seorang kaki pancing tegar dan pernah bekerja selaku pekerja kedai pancing sebelum bertekad mendirikan kedai pancing sendiri Lantaran 'harga kawan-kawan' yang dipraktikkan itu menyebabkan beliau sering dimarahi oleh pembekal namun beliau tidak mengendahkannya demi kepuasan pelanggan.

 

Fisher Tackles Sdn. Bhd.

No. 21, Jalan Tukul N15/N, Seksyen 15 Shah Alam, Selangor.