Mengikut definisi Wikipedia, sauh adalah sejenis benda yang diperbuat daripada besi ataupun logam untuk menambat kapal agar tidak berpindah ke tempat lain kerana hembusan angin, arus ataupun gelombang laut. Sauh dihubungkan dengan rantai yang dibuat dari besi ke kapal dan dengan tali pada kapal kecil atau perahu.

 

Bahkan logo sauh juga telah menjadi simbol bagi hampir semua kegiatan yang berkaitan dengan lautan ataupun maritim.

 

Namun di sebalik penggunaannya, terdapat teknik mengikat sauh dengan betul bagi kegunaan perahu kecil. Tidak kira ia dibeli yang telah siap dan dijual di kedai-kedai marin ataupun sauh yang dibuat sendiri ia perlu ada sifat-sifat keselamatan. Setiap sauh yang tersedia mempunyai dua tempat mengikat tali atau rantai. Kedudukan tempat mengikat tersebut terletak di pangkal dan juga pucuk sauh.

 

Kenapa ianya direka begitu? Setiap sauh yang diturunkan ke dasar mempunyai risiko untuk tersangkut ke karang ataupun reba serta akar pokok yang tidak dapat dilihat oleh kita.

 

Caranya, buat ikatan utama yang kuat pada pucuk sauh agar mampu menjadi pemegang utama ketika kejadian sauh tersangkut berlaku. Gunakan tali yang kuat dan sepadan dengan berat sauh dan berat bebanan bot. Kemudian bebanan bot. Kemudian ikat tali bersaiz kecil yang sederhana kuat di pangkal sauh sebagai pelaras kepada sauh supaya dapat mengunci sauh pada kedudukan yang di kehendaki.

 

Tali sederhana kuat perlu diikat pada tali sauh utama. Tali ini akan menjadi tali keselamatan apabila sauh tersangkut dan mampu terbuka apabila ditarik dengan kuat. Apabila tali keselamatan terbuka atau putus maka ikatan pada bahagian pucuk sauh akan berfungsi untuk mengeluarkan sauh selepas ia tersangkut pada dasar kerana ia ditarik dari arah bertentangan.